Saturday, September 4, 2010

Top News


Capello puji Rooney


DEFOE (dua dari kanan) meraikan jaringan pertamanya bersama (dari kiri) Rooney, James Milner dan Steven Gerrard (kanan) ketika menentang Bulgaria pada aksi kelayakan Euro 2012 di Stadium Wembley awal pagi semalam.


LONDON - Di sebalik jaringan hatrik Jermain Defoe, jurulatih skuad kebangsaan England, Fabio Capello lebih memuji persembahan yang dipamerkan Wayne Rooney.
Ternyata Capello sudah boleh menarik nafas lega apabila Rooney kini dilihat sudah kembali menemui sentuhannya semula ketika membantu The Three Lions menewaskan Bulgaria 4-0 dalam saingan kelayakan Euro 2012 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Wembley itu, Rooney telah membuktikan kualiti yang dimilikinya apabila menjadi nadi utama terhadap ketiga-tiga jaringan yang dilakukan Defoe.
Defoe meledak gol pada minit ketiga, 61 dan 86 manakala satu lagi gol England disumbangkan menerusi Adam Johnson (83).
Sebelum ini, Rooney dikecam hebat ekoran prestasi hambarnya pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sehingga menyaksikan England tersingkir pada pusingan kedua selepas tewas kepada Jerman.
"Saya ada bercakap dengan Rooney sebelum perlawanan berlangsung. Saya katakan kepadanya yang saya memahami corak permainan yang sering diterapkan Bulgaria.
"Saya memberitahu Rooney agar berada di depan sedikit daripada dua pemain perancang kami kerana daripada situ, dia mudah untuk bergerak dan membuat hantaran-hantaran untuk rakan-rakannya yang lain menjaringkan gol," jelas Capello.
Defoe yang memanfaatkan sepenuhnya persembahan mantap Rooney itu mengakui, mereka kini adalah gandingan penyerang paling ideal buat England.
"Biasanya kamu akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan gandingan baru kamu, namun berbeza dengan Rooney yang sememangnya merupakan seorang pemain yang hebat.
"Ketika saya menjaringkan gol kedua, dia (Rooney) ada memberitahu saya supaya terus melakukannya kerana dia yakin saya bakal menjaringkan gol ketiga," kata Defoe. - AFP


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails